Wednesday 19 November 2014

RASULULLAH S.A.W. MENJAHIT SENDIRI BAJUNYA.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitabnya Asy-Syamail, Aisyah r.a. berkata yang maksudnya: Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia biasa, Baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya.
Imam Ahmad pula meriwayatkan dari Aisyah r.a., yang maksudnya: Rasulullah SAW menjahit sendiri bajunya, memperbaiki sendiri sepatutnya, dan buat seperti apa yang dibuat oleh lelaki lain di rumah mereka.
Al-Ahzab [21] "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

HOBIKU
Salah satu hobiku adalah MENJAHIT. Ketika zaman persekolahan, ketika mula masuk sekolah menengah, aku ditempatkan di tingkatan 1E( aliran perdagangan). Aku tak puashati sebab aku nak masuk aliran ERT(ekonomi rumah tangga). Sebab aku nak belajar memasak dan menjahit, sesuai dengan gadis yang sedang meningkat remaja. Guru kelas ku memujuk untuk aku terus 'stay' kelas perdagangan kerana aku terpilih dek kerana ujian saringan matematik ku tertinggi. Aku terpaksa akur dengan pujukan cikgu ku. 
Bermacam cara aku cuba belajar buat baju sendiri. Ku ambil pakaian lama yang dah tak boleh pakai untuk ku cuba menggunting baju sendiri, namun sering tak jadi. Sehinggalah pada suatu hari ku masih tak putus asa untuk menjahit, ku cuba gunting baju kurung pesak, namun tak pandai pula nak gunting leher. Zaman dulu kalau gunting baju kurung pesak tak ada tulang atas bahu, jadinya susah nak tebuk leher, sehinggalah emak saudara aku datang, beliau tunjukkan cara buat lubang leher baju kurung. alhamdulillah aku berjaya menjahit baju sendiri pada usia 16 tahun hanya bantuan bahagian leher oleh ibu saudaraku.
Bila usiaku 17 tahun teringin pula nak jahit baju kurung moden(cekak musang). Kebetulan bapa saudaraku (abah Hj Abdul Rashid di Kuala Berang) menghadiahkan kain corak batik untuk sepasang baju, masa tu dah dekat nak raya, takda orang sanggup terima tempahan. aku terpaksa memujuk seorang jiranku yang memang mengambil tempahan pakaian untuk tolong ajar aku potong dan jahit bajuku. Alhamdulillah dia bersetuju dan aku berjaya menghasilkan baju sendiri(kurung cekak musang).
Sejak itu aku sangat teringin nak jahit baju orang lain pula, tapi kesusahan keluarga yang tidak ada lebihan wang untuk aku hadir kelas jahitan. Sehingga pada satu masa aku berjaya dapat kerja di Kepala Batas, Pulau Pinang. Aku menetap di Bagan Ajam(menumpang rumah sepupu) berjiran dengan keluarga berbangsa Cina yang sangat fasih berbahasa Melayu. Aku belajar menjahit waktu malam, silibus menjahit yang sepatutnya ambil masa 3 bulan, aku berjaya tamatkan dakam masa 2 bulan. Semasa ikuti kelas perlu banyak modal, tak ada duit nak beli kain, aku dibantu oleh kawan-kawan, sepupu-sepupu. Untung mereka dapat baju tanpa bayar upah. Mesin jahit aku beli yang terpakai dengan duit simpanan siling 50 sen(hobi aku simpan siling 50 sen berbaloi).
Sejak itu sambil kerja aku terus menjahit hingga kini. Cuma kini setelah umur meningkat kepada 5 series ini agak kurang kerana keterbatasan tenaga dan masa, namun minat masih membara. Banyak perkara baru dicari agar tidak ketinggalan zaman.
Sentiasa ikuti kelas-kelas jahitan seperti di Kolej Komuniti, Institiut Kemahiran MARA dll. Kini dengan teknologi ICT, banyak ilmu dan panduan menjahit boleh didapati dari youtube. 
Cita-citaku bila bersara dari pekerjaan nanti nak buka kelas jahitan bagi menyalurkan ilmu menjahit kepada generasi muda. Moga menjadi bekalan untuk aku diakhirat nanti. Ilmu berguna bagi bantu wanita muslim menutup aurat dan memperolehi pendapatan dari aktiviti menjahit, Insya Allah.
-miasal

No comments:

Post a Comment